Gangguan Seksual Mangsanya Umum



Sering diperkatakan, bahawa gangguan seksual hanya menimpa kepada golongan kaum Hawa. Namun hakikatnya, golongan kaum Adam turut tidak terkecuali dengan gangguan yang sebegitu rupa. Apabila wujudnya segelintir kaum Hawa yang berpakaian tidak cukup kain, kain singkat, ketat sendat menjolok mata. Terdedah sana, terdedah sini! Sepertimana Nabi Saw telah menyebut wanita yang berpakaian tetapi telanjang [Riwayat Muslim]. Cukup! Cukup! Tidak perlu untuk saya menyebutnya lebih terperinci lagi.

Wahai kaum Hawa, peliharalah harga dirimu, maruahmu serta keluargamu. Hentikan mempamerkan dirimu dengan aksi-aksi ghairah serta gaya-gaya menggoda di laman-laman sosial dan di khalayak bukan mahram. Mohon hentikan penderaan seksual ke atas golongan Adam. Usah diperdagangkan dirimu bagai barang murah di tepi jalan, yang tidak tersimpan rapi seperti mutiara bersinar di dasar lautan. Usah dibiarkan dirimu dieksploitasi sekelompok buaya darat yang hanya mengejar keuntungan dunia yang sementara.

WAJARKAH DIPERSALAHKAN KAUM HAWA

Sungguh pun begitu, tidaklah wajar andai diletakkan sepenuhnya kesalahan di atas bahu kaum Hawa. Kerana ALLAH SWT telah memberi peringatan kepada kaum Adam dan kaum Hawa, agar menundukkan pandangan (nafsu) serta memelihara kemaluan [An-Nur: 30-31]. Namun, berdasarkan telahan dan pemerhatian saya, wujudnya sekelompok kaum Adam yang sedikit pun tidak rasa bersalah merembat gambar-gambar kaum Hawa yang muda-mudi (bertudung) di laman-laman sosial dengan mengeksploitasinya untuk tujuan-tujuan yang tidak sihat.

Malahan, apa yang saya selidiki secara tidak sengaja (berpunca daripada publisitinya yang meluas), gambar-gambar tersebut dipaparkan di laman-laman Facebook tertentu yang berunsur lucah. Berkemungkinan ada kaum Hawa yang tidak sedar gambar mereka dirembat dan dieksploitasi sedemikian rupa. Apa yang saya perkatakan, bukanlah demi momokan yang tidak tentu hala. Hanya sekadar peringatan agar kalian berwaspada setiap kali ingin menempelkan gambar-gambar berupa solo.

TINDAKAN YANG TEGAS

Justeru itu, saya menyeru kalian semua turut bersama saya, melaporkan laman-laman Facebook yang berunsur lucah sebagai 'It's harassing me or someone I know', kepada pemerintah Kerajaan Facebook. Anggaplah ia sebagai menjunjung tinggi prinsip menegakkan yang benar dan menentang yang salah. Bagi yang non-Muslim anggaplah ia sebagai tanggungjawab sosial kalian. Kelucahan meruntuhkan akhlak, kesopanan dan peradaban sesebuah negara bangsa. Serta menggalakkan berleluasanya kes-kes zina, pencabulan dan sebagainya.

Mungkin seruan yang saya canangkan itu tidaklah setara mana, namun sekurang-kurangnya kita telah melakukan yang terdaya untuk mengekang salah satu virus yang merosakkan umat Islam serta masyarakat sejagat. Andai ada yang mempunyai saranan dan cadangan yang lebih bijaksana, bolehlah dikemukakan sebagai manfaat kita bersama.

Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
1hb Oktober 2013

http://adli-abdullah.blogspot.com
http://www.facebook.com/adli.abdullah



- Posted using BlogPress from my iPod Touch 5

Tiada ulasan:

Catat Ulasan