Perlaksanaan Hudud Di Brunei: Apa Reaksi Malaysia?



Melihat kepada perkembangan landskap perundangan di sebuah negara yang meriah dengan hasil bumi dan minyak yang melimpah ruah, dikurniakan pemerintah yang adil, iaitu Brunei Darul Salam, saya agak berasa teruja apabila menerima perkhabaran bahawa hukum Hudud telah pun terlaksana di sana. Amatlah beruntungnya rakyat Brunei kerana telah tertegaknya syari'at ALLAH SWT di muka bumi mereka.

Namun, dalam melaksanakan syari'atullah, ianya bukanlah semudah A B C dan perancangan sehari semalam. Pelbagai aspek perlu diambil kira, dikaji dan diteliti. Mungkin kerana iklim politik, suasana sosial masyarakat, ekonomi negara yang mantap, pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama kepada rakyat, melayakkan Brunei melaksanakan hukum Hudud. Kerana dalam perlaksanaan hukum Hudud mestilah dalam keadaan yang benar-benar kondusif.

KONDUSIF ITU BAGAIMANA

Negara bertuah Malaysia ini, saya tidak pasti sama ada sudah berada dalam keadaan yang kondusif, serta sudah tiba masa yang tepat untuk melaksanakan hukum Hudud atau tidak. Kondusif itu adalah antara pra-syarat yang diperlukan untuk melaksanakan hukum Hudud. Ianya bermaksud, hendak memperolehi sesuatu yang halal itu terlalu mudah, dan yang haram itu terlalu sukar.

Antara beberapa contoh kondusif yang boleh difahami:

Pertama: Amatlah kurangnya berlakunya kes kecurian. Kerana hasil kekayaan negara diagihkan secara adil dan saksama kepada setiap lapisan rakyat. Maka seluruh golongan rakyat tidak merasa terlalu terbeban dengan kos saraan hidup yang semakin menghimpit diri, mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang terbaik. Adalah tidak wajar apabila rakyat bawahan yang mencuri, kita menyalahkan mereka hanya kerana mereka bukan golongan bangsawan dan konglomerat.

Tidak sesekali hendak menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Cuma berasa kesal, apabila yang berada di atas bersenang lenang kebal daripada sebarang hukuman walau pun kebas wang rakyat sebanyak jutaan mahu pun berbilion ringgit, melakukan pecah amanah, rasuah dan sebagainya. Sedangkan perundangan Islam itu adil untuk semua, tidak kira kaya mahu pun miskin, tidak terlepas daripada sebarang hukuman seandainya melakukan kesalahan.

Kedua: Amatlah sedikit berlakunya kes-kes zina di kalangan masyarakat Muslim. Kerana tidak mudah terjebaknya dalam kancah zina yang keji lagi menjijikkan. Ianya berpunca daripada faktor, rakyat terdidik dan terbina di atas dasar 'ilmu serta tarbiyyah yang disemarakkan dengan majlis-majlis 'ilmu yang sentiasa meriah di segenap pelusuk negara. Bukanlah dirosakkan bagai anakku Sazali disuap dengan wang, material dan hiburan yang meruntuhkan jati diri belia-belia Muslim/Muslimat.

Kemudian, prosedur untuk bernikah dan mendirikan Baitul Muslim, benar-benar mudah mengikut cara Islam, tidak terlalu terbeban dengan adat-adat yang membazir dan bertentangan dengan aqidah dan syari'at.

Justeru, saya berpandangan, persoalan hukum Hudud tidak wajar berterusan dipolemikkan. Termasuk isu kalimah ALLAH yang tiada berkesudahan, yang dikhuatiri boleh menimbulkan fenomena memurtadkan atau takfir (mengkafirkan) sesama Muslim. Dalam masa yang sama juga, saya merasakan, pemerintah yang sedia ada belum mampu melaksanakan hukum Hudud, seandainya mereka masih tidak mengubah gaya serta cara mereka dalam mengurus dan memimpin rakyat.

Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
24hb Oktober 2013
http://adli-abdullah.blogspot.com
http://www.facebook.com/adli.abdullah


Rujukan:
1. Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi - Pengerusi Kesatuan Ulama' Sedunia.
2. Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin - Mantan Mufti Perlis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan