Misteri Kehilangan MH370


Kehilangan sebuah pesawat Boeing 777-200ER dengan kod penerbangan MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) daripada pengesanan radar lebih kurang sejam setelah berlepas pada sehari sebelum ulangtahun kelahiran saya, 8hb Mac 2014 masih diselubungi misteri. Pesawat tersebut membawa seramai 227 orang penumpang termasuk 12 orang anak kapal. Pakar-pakar penerbangan menyatakan sebuah alat pengesanan pesawat yang dinamakan transponder berkemungkinan dimatikan.

Misi mencari dan menyelamat (MDM) melibatkan 26 buah negara. Pasukan mencari dan menyelamat telah melakukan pencarian di beberapa kawasan Asia Tenggara. Setelah seminggu penemuan tidak berhasil, kawasan pencarian diperluaskan ke beberapa kawasan di Asia Tengah dan Asia Selatan. Atau lebih mudah dan tepat disebutkan Koridor Utara dan Koridor Selatan. Koridor Utara menjangkau dari utara Thailand ke Kazakhstan dan Turkmenistan, manakala Koridor Selatan meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi. Beberapa satelit yang bukan direka khas untuk perisikan dan MDM daripada agensi-agensi satelit tertentu turut diminta memberikan bantuan kepada pasukan MDM bagi mengesan pesawat tersebut. Namun, masih belum menghasilkan sebarang penemuan pesawat tersebut.

RAKYAT MALAYSIA BERKABUNG

Seluruh rakyat Malaysia tidak kira agama dan bangsa yang tiada sebarang pertalian kekeluargaan mahu pun persahabatan bagaikan bersatu hati turut sama berkongsi kerisauan dan kebimbangan bersama seluruh ahli keluarga penumpang serta anak kapal dengan berdoa demi penemuan pesawat MH370.

Upacara solat hajat telah dilaksanakan oleh berbagai pihak di kalangan beragama Islam. Manakala bagi penganut agama lain melakukan upacara doa menurut cara agama masing-masing.

KEMUNCULAN TEORI

Pelbagai teori dan andaian muncul dari kalangan pengamal-pengamal media sosial dan media maya. Ada yang berteori ini adalah konspirasi Amerika Syarikat (AS) sekadar mencari kesempatan memasuki perairan negara-negara Asia terutamanya China demi agenda tersembunyi, ada yang berteori ini angkara Russia berkaitan krisis Ukraine bagi mengugut AS agar tidak campur tangan, ada pula yang berteori seakan filem perisikan terkenal James Bond dan Mission Impossible dengan menyatakan bahawa pesawat tersebut terbang menuju ke Kazakhstan secara halimunan dengan mematikan transponder dan mengekori rapat bayang-bayang sebuah pesawat Singapore Airlines (SIA) yang menuju ke Barcelona secara kebetulan pada saat itu melalui laluan di mana pesawat MH370 hilang daripada pengesanan radar tentera.

Termasuklah teori dengan dakwaan yang tidak munasabah oleh sebuah media United Kingdom (UK) bagi mengaitkan ketua juruterbang pesawat tersebut, iaitu Kapten Zaharie Ahmad Shah dengan sebuah parti pembangkang dan seorang pemimpin tertinggi parti tersebut. Dakwaan tersebut bakal menimbulkan persoalan, adakah juruterbang peribadi Perdana Menteri, Kapten Norudin Abd. Majid yang merupakan rakan karib Kapten Zaharie turut sama akan terkait??

Tidak kurang juga teori yang agak mendukacitakan mengaitkan kehilangan tersebut dengan puak Islam tertentu. Apabila muncul dakwaan sebegini, suka saya mengambil sikap mencurigai kebenarannya terlebih dulu. Kerana khuatir terperangkap dengan permainan sekolompok pihak barat yang gemar mengaitkan Islam dengan keganasan. Sebagai contoh, keganasan dan letupan yang berlaku di Mesir, sehingga kini saya masih tidak percaya dengan dakwaan bahawa ia angkara gerakan Ikhwanul Muslimin (IM). IM merupakan gerakan Islam terbesar di dunia yang cukup terkenal dengan sifat keterbukaan dan kesederhanaan.

SIMULATOR DISIASAT

Apabila komputer simulator penerbangan Kapten Zaharie menjadi antara bahan penyiasatan, bikin saya rindu dengan kenangan mengujakan suatu ketika dulu bermain permainan komputer Microsoft Flight Simulator bersama anak-anak saudara saya menggunakan komputer desktop gaming (berkuasa pertengahan) saya yang telah dijual. Memadam simpanan permainan (save games) menjadi suatu kelaziman. Bukanlah suatu perkara yang luar biasa.

Termasuklah persoalan landasan-landasan pelik yang menjadi pilihan Kapten Zaharie dalam permainan simulator penerbangan milik beliau. Menurut mantan Ketua Juruterbang Penerbangan Serantau MAS, Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain mengakui bukanlah suatu perkara yang luar biasa bagi mana-mana juruterbang memilih landasan-landasan pelik dalam permainan simulator tersebut dan ia sekadar suka-suka sahaja. Kerana di alam realiti adalah sesuatu yang mustahil bagi mereka melakukannya.

Bermakna permainan simulator penerbangan belum tentu dapat membuktikan apa-apa. Cuma ianya sebuah permainan video/komputer yang agak rumit dan mencabar. Dan mendedahkan kita orang awam betapa sukarnya untuk menerbangkan sesebuah pesawat. Tabik hormat buat Kapten Zaharie dan para juruterbang sekalian!

IKTIBAR KEHILANGAN

Saya amat bersimpati dan menumpang perasaan duka menimpa ke atas semua ahli keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370. Ketahuilah apabila ALLAH SWT menguji, DIA mahu kita meminta serta tidak melupakanNYA pada tiap saat dan ketika. Teruskan berdoa agar segera hadirnya berita gembira. Turut berdoa agar dikurniakan dariNYA kesabaran, ketabahan dan sifat redha dalam sanubari kalian sebagai persediaan sekiranya menerima berita sebaliknya.

Kedua, saya amat berharap agar pihak MAS menerima kehilangan pesawat tersebut sebagai teguran daripada ALLAH SWT agar mencontohi syarikat penerbangan milik Islam yang lain seperti Saudi Arabian Airlines (SAA) yang mengundang keselamatanNYA dengan memasang audio bacaan doa naik kenderaan semasa pesawat hendak berlepas. Secara tidak langsung memberi peringatan kepada para penumpang beragama Islam untuk turut membacanya. Seterusnya, mengundang keredhaanNYA dengan menyediakan ruang khas solat, menetapkan kod berpakaian para juruterbang dan anak kapal yang menutup aurat dan mengharamkan arak. Begitulah pengalaman saya semasa menaiki penerbangan SAA beberapa tahun yang lalu.

Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
20hb Mac 2013
http://adli-abdullah.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan