Retis Atau Artis?

Sumber Imej: Google
Dalam ramai-ramai zuriat kelahiran emak-ayah saya. Boleh dikatakan majoriti abang kakak saya adalah golongan yang berkelulusan tinggi dalam bidang yang profesional.

Sebagaimana Abang Long berkerjaya sebagai Jurutera Awam, Kak Ngah merupakan bekas Akauntan, Abang Lang sebagai Jurutera Mekanikal dan Kak Uda sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik.

Tiba-tiba boleh pula saya anak mereka bergelar Anak Seni dalam bidang seni penulisan. Kadangkala saya sendiri pun tidak menyangka begini takdirNya.

Segala yang berlaku itu ternyata di atas kehendak dan kudrat Yang Maha Esa.

Meskipun golongan Anak Seni tidak kira cabang mana sekalipun secara umumnya digelar Artis atau pun Seniman. Dan memang ada yang menggelar saya begitu semenjak saya terjebak dalam dunia penulisan. Saya tetap tidak berapa seronok dengan gelaran tersebut.

Kerana ayah saya agak alah dan tidak berapa menggemari gelaran tersebut. 

Barangkali kerana umumnya Artis adalah golongan yang terpalit dengan pelbagai kontroversi serta tidak mengamalkan cara hidup Islam yang bertunjangkan aqidah berpaksikan syariat.

Secara mudahnya kita lihat golongan Artis dalam cabang seni lakonan. 

Berapa ramai Artis yang berlakon tidak menjaga batas pergaulan halal haram antara lelaki dan wanita bukan mahram?

Berapa ramai Artis yang terjebak dalam skrip dan gaya pengarahan drama, filem mahu pun telefilem yang tidak patuh syariah?

Itulah antara faktor mengapa gelaran Artis penuh dengan pelbagai stigma negatif.

Barangkali ayah turut tidak mahu saya mudah lupa diri serta gilakan populariti.

Di atas dasar hormat itulah saya benar-benar segan apabila ada yang memanggil saya artis di hadapan ayah.

Paling saya berasa aneh sudah beberapa orang kawan menyatakan saya ini popular lah apalah. 

Barangkali itu hanyalah sekadar demi mengambil hati dan mengipas saya. 

Sedangkan saya tidaklah sepopular mana pun. Lihat sahaja kiriman-kiriman saya dalam laman-laman sosial saya.

Berapa kerat sahaja yang like kiriman saya di laman-laman sosial saya?

Memperolehi like 300-1000 dan lebih untuk setiap kiriman amatlah jarang-jarang sekali. Pernahlah ada beberapa kali itu pun hanya 600 like sahaja bagi kiriman dalam page. Bukan di sini ya.

Apa pun, secara positif masih wujud golongan Artis yang Islamik sepertimana artis-artis nasyid. Tidak kurang juga makin ramai artis-artis dalam cabang nyanyian lain serta cabang lakonan telah beroleh nikmat hidayah dan Islam.

Maka, apa jua bidang yang kita ceburi. Pastikan ia adalah suatu jalan dalam mencari rezeki yang halal lagi berkat serta menuruti budaya kerja yang berpandukan pedoman Islam dan akhirat.

Jadikanlah kerjaya kita itu sebagai suatu tuntutan ibadah serta medan menimba amal dan pahala. Kerana setiap pekerjaan yang baik itu boleh dikategorikan sebagai ibadah dan jihad demi memperolehi rezeki yang halal lagi baik. 

Ketahuilah, dunia ini hanyalah permainan yang penuh dengan tipu daya. Hanyalah persinggahan yang bakal kita tinggalkan kelak.

Kerana itulah menggapai redha Allah SWT adalah matlamat serta objektif utama kita sebagai hamba dan khalifah-Nya di muka bumi. 

Berdoalah agar segala amal dan bakti kita diterima Allah SWT. 

Adli Abdullah
10hb Mac 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan